My life,,,

Pages

Thursday 15 March 2012

Bahagia~

Assalamualalikum~

I dont remember where i get this. Tapi for sure somewhere from internet...
Been in my notes since november 2011.
So sesaja rasa nak share~


Orang selalu kata kebahagiaan itu subjektif. Tidak ada kayu yang dapat mengukurnya. Ada orang bahagia bila banyak duit. Ada orang bahagia bila rasa diri mereka cantik. Ada pula bahagia apabila dikelilingi oleh orang yang menyayangi mereka dan pilihan hati mereka.

Tetapi persoalannya - apakah sebenarnya kebahagiaan yang benar-benar bahagia?

Bahagia sebenarnya ialah satu perasaan yang lahir daripada hati yang luhur, daripada jiwa yang tenang dan zuhud, yang terbit daripada fikiran yang bersih yang sentiasa mensyukuri nikmatNya. Kalau orang kata perasaan sebenar kita yang nampak pada wajah lahirnya daripada hati, begitu juga dengan rasa bahagia, ia lahir daripada hati.

Orang yang mengakui dirinya bahagia tetapi di dalam hatinya tersimpan perasaan dendam atau dengki terhadap orang lain, adalah pembohong besar. Orang yang mengaku bahagia tetapi lidahnya sentiasa mengucapkan rasa tidak puas hati terhadap ketidak adilan kehidupan, adalah penipu besar. Orang yang mengaku bahagia tetapi sentiasa takut dengan bayang-bayang sendiri dan sentiasa memikirkan sesuatu yang buruk bakal berlaku di dalam hidupnya adalah orang yang tidak bahagia sebenarnya. Ini kerana rasa bahagianya yang sekelumit cuma itu telah diselubungi anasir-anasir negatif yang bisa merosakkan seluruh emosi dan akal fikirannya.

Apakah erti kata kebahagiaan yang sebenar-benarnya?

Bahagia ialah satu perasaan yang kita rasa dengan seluruh jiwa raga kita. Ia amat menenangkan jiwa kita. Ia sentiasa berada bersama kita walau apa sekalipun yang berlaku.
Walau di dalam tangan kita tidak ada wang. Walau perut kita kosong berkeroncongan. Walau kehidupan kita daif tanpa sinar yang menerangi jalan di hadapan kita.
Walau seteruk mana keadaan kita.
Tetapi jika kita bahagia, jika benar diri kita bahagia, jiwa kita tenang, roh kita aman, dan fikiran kita tenteram.
Tetapi itu tidak bermaksud kita berserah dengan apa yang ada.
Dengan adanya kebahagiaan sebagai makanan rohani, kita akan sentiasa kuat untuk bangkit dan berjuang. Kita akan selalu berfikiran positif. Kita akan selalu percaya pada diri sendiri. Kita tidak akan pernah takut menghadapi apa saja cabaran dan rintangan.
Dan di akhirnya, berbekalkan rasa bahagia itu, kita akan mendapat apa sahaja yang kita inginkan.
Dan bonus yang kita akan dapat ialah, kebahagiaan itu umpama sebutir biji benih. Dengan kita rajin membaja dan menyiramnya, ia akan tumbuh dan bercambah menjadi pohon yang merimbun.
Dan tanpa kita sedari, tubuh kita sebenarnya mendapat lebih banyak kebahagiaan daripada hari ke hari.

Ramai yang tidak tahu, kawan baik bahagia ialah syukur. Jika kedua-dua ini wujud dalam diri, nescaya kita tidak pernah akan rasa tidak puas hati dengan apa sekalipun. Semuanya akan sentiasa tampak indah dan cantik.

Ramai yang fikir mereka bahagia. Namun hanya berapa orangkah yang benar-benar bahagia? Berhenti dan fikirlah sejenak. Jika anda bahagia mengapa anda masih mengeluh dengan kehidupan?

Wallahualam...

Wassalam~

No comments: